Nuffnang Ads

Monday, December 6, 2010

Wujudkah sokongan mimpi dalam urusan jodoh?

Apakah pandangan Islam tentang mimpi (ru’yah)?


Realiti 3 golongan


1. Ada orang yang bergantung sepenuhnya kepada mimpi. Ia terdedah kepada sangkaan, mainan syaitan dan mainan perasaan.

2. Ada golongan yang menolak sepenuhnya mimpi. Ia menafikan sesuatu yang wujud, thabit (tetap) serta tidak patut diingkari secara umumnya.

3. Ada golongan yang menganggap mimpi sebagai bonus sokongan daripada Allah SWT dengan apa yang telah diyakini berdasarkan petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah.
 Pendapat ini lebih adil dan sederhana.


Merujuk Risalah Taalim oleh al-Imam Hassan al-Banna yang dihuraikan oleh Muhammad Abdullah al-Khatib dan diadaptasi oleh penulis, ada beberapa penjelasan tentang kedudukan mimpi dalam Islam. 
Antaranya ialah:

1. Mimpi insan biasa bukanlah hujah bagi hukum syarak. (Misalnya seseorang yang bermimpi bahawa hubungannya dengan Allah telah mantap maka dia hanya perlu solat pakai niat sahaja, maka mimpinya dikira batil dan tak menjatuhkan hukum syarak apapun ke atasnya).

2. Mimpi seseorang tidak diambil kira jika bertentangan dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. (Misalnya wanita mengandung bermimpi makan khinzir menyebabkan dia sangat mengidamkannya. Mimpi itu tidak boleh dijadikan hujah untuknya melanggar hukum agama yang telah tetap.)

3. Mimpi seseorang yang tak bertentangan dengan nas, boleh diambil kira untuk dirinya sediri, bukan hujah bagi orang lain. (Misalnya jika seseorang bermimpi berkahwin dengan seseorang, manakala agama dan akhlak orang tersebut memang bagus, maka dia boleh berusaha ke arah menjadikan mimpinya suatu realiti. Namun, dia tidak boleh memaksa orang itu menerimanya semata-mata berhujahkan mimpinya sendiri.)

4. Mimpi banyak berbaur dengan sangkaan, bercampur-aduk dengan waham (prasangka), justeru kita tak bergantung sepenuhnya kepadanya. Sekadar berwaspada. (Misalnya kita bermimpi berkahwin dengan seseorang, sedangkan kita belum mengetahui tentang agama dan akhlaknya, maka tak perlu terburu-buru percaya pada mimpi itu. Mimpi itu mungkin boleh menjadi sekadar ilham untuk kita merisik agama dan ahklaknya dengan teliti).

5. Faedah kewujudan mimpi adalah sokongan tambahan pada perkara yang telah tetap (thabit) daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Ia dianggap sokongan tambahan kepada perkara yang telah thabit dan dianggap sebagai cahaya di atas cahaya.

6. Mimpi bukan semuanya daripada syaitan dan mainan perasaan ketika tidur. Ada juga mimpi yang benar daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW, “Mimpi ada tiga jenis: Mimpi yang datang daripada Allah, mimpi yang berpunca dari dirinya sendiri dan mimpi daripada syaitan.” (Riwayat Muslim). Ibnu Taimiyah berkata di dalam Al-Fatawa, hendaklah seseorang tahu membezakannya. (Misalnya seseorang yang leka dalam maksiat, tidak mahu bertaubat, tiba-tiba ingin beristikharah dalam urusan jodoh, sudah tentu besar kemungkinan mimpi malamnya akan sering dipengaruhi oleh wajah gadis yang didambakan. Sebaik-baiknya, dia bertaubat dan menjauhkan diri daripada dekat dengan jalan-jalan zina terlebih dahulu seperti asyik call, sms dan dating).

7. Sekalipun ulama tidak mengingkari wujudnya mimpi yang benar, namun mereka mensyaratkan perlunya nilaian daripada Al-Quran dan Al-Sunnah terhadap setiap apa yang dimimpikan. Hanya kedua sumber tersebut yang maksum (terpelihara daripada kesilapan).

8. Berkata Ibnu Taimiyah, “Ahli kasyaf dan ahli ilham ada kalanya benar dan ada kalanya silap. Justeru mereka perlu berpegang teguh dengan tali Allah dan sunnah Rasulullah SAW.” (Al-Fatawa).



Jadi, wujudkan Sokongan Mimpi dalam Urusan Jodoh?

Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita agar beristikharah (berdoa pada Allah) dan bermusyawarah (berbincang dengan makhluk) dalam membuat sesuatu pilihan.

Kita tak perlu meragui lagi bahawa Rasulullah SAW menjadikan istikharah itu trend dalam hidup baginda apabila ingin membuat sesuatu pilihan. Buktinya, kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya:

“Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini…” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
Setelah kewafatan Khadijah, Allah SWT sering menghadirkan mimpi seorang gadis yang dibawa oleh malaikat Jibril di dalam kelubung sutera. Apabila diselak, gadis itu adalah Aisyah. Jibril berkata, “Ini adalah isterimu di dunia dan di akhirat). Tiga kali mimpi itu menemani malam baginda.

Baginda cuma berkata kepada diri dengan mimpi itu, “Kalau ini kehendak Allah, pasti akan terlaksana.”


 (Muttafaqun a’laih).



Setelah mengalami mimpi itu, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan Khaulah binti Hakim bin Al-Auqash, isteri Usman bin Mazh’un yang mencadangkan calon untuk baginda. Didapati calon yang dimaksudkan berdasarkan nilaian agama memang patut dijadikan isteri. Natijahnya, Rasulullah minta dia menyampaikan pinangan baginda kepada calon yang dimaksudkan itu.

Kesimpulannya:

1. Buatlah pilihan dengan istikharah dan musyawarah. 



2. Petunjuk tak semestinya hadir melalui mimpi. Namun jika kita bermimpi yang baik, ia boleh jadi bonus sokongan daripada Allah kerana mimpi itu wujud, thabit dan tak patut diingkari secara umumnya.



3. Petunjuk boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama.



4. Setelah beristikharah dan berbincang kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk.


No comments:

Post a Comment